Platform Sistem Pengurusan Kandungan (CMS) WordPress adalah satu platform blog yang amat popular pada zaman ini. Tahukah anda bahawa WordPress lahir dari kesusahan pembangun laman web pada zaman dahulu dengan html? Disebabkan kesukaran pengurusan pembangunan laman web di mana jika ingin ubah sesuatu halaman perlu ubah kod di dalam halaman tersebut. Maka lahirlah satu idea di mana tidak perlu menulis kod baru bagi setiap halaman web. Solusinya adalah melalui php dan mysql database.

Di sini tidak akan diterangkan apa itu mysql database dan php. Namun secara ringkasnya ia memudahkan pembinaan atau pengubahan sesuatu halaman laman web tanpa perlu menaip kod baru.

B2/Cafelog

B2/Cafelog adalah platform awal yang dibina oleh pengasasnya yang bernama Michel Valdrighi, seorang programmer Perancis. Projek ini diinspirasikan dari sistem blog Pyra Lab (Pemilik asal Blogger sebelum dibeli oleh Google).

Michel Valdrigi

B2/Cafelog ini adalah sistem yang ringkas dan praktikal yang mana ia menggunakan php untuk membina halaman web baru dari kandungan database mysql. Sistem ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari para pembangun laman web. B2/Cafelog versi 0.60 dilancarkan untuk penggunaan awam pada tahun 2001. Dan pada tahun 2002 Michel Valdrighi membangunkan B2/Cafelog versi 1.0. Namun pada bulan Disember pada tahun yang sama, beliau menghilangkan diri dan memberikan kesan yang besar dalam komuniti B2. Komuniti B2 kehilangan panduan dan khidmat sokongan disebabkan isu ini.

Ketika komuniti B2/Cafelog kalut dilanda ribut kerana tiada ketua yang menahkodai bahtera, seorang pengguna B2/Cafelog yang bernama Matt Mullenweg mengepos satu idea untuk membina satu platform baru menggunakan kod asas dari B2/Cafelog. Memandangkan B2/Cafelog memberikan lesen GPL (secara mudahnya free untuk guna dan free untuk ubah dan dan boleh jual tapi tak boleh ubah jenis lesen). Maka idea yang diposkan pada Januari 2003 ini disambut oleh Mike Little dan bermulalah pembangunan satu sistem yang baru.

Matt Mullenweg

Lahirnya WordPress

Pada Mei 2003, Michel Valdrighi membuat kemunculan semula dalam dunia blogging dan beliau menyatakan bahawa kehilangan beliau adalah disebabkan masalah peribadi dan tiada kerja (kewangan). Dan beliau pada masa yang sama mengumumkan bahawa Matt Mullenweg dan Mike Little adalah dua tokoh yang akan mengemudi sistem baru yang dinamakan WordPress, sistem ini adalah cabang daripada B2/Cafelog.

Mike Little

Pada hujung bulan yang sama, versi WordPress yang pertama diperkenalkan iaitu versi 0.7. Dari sini bermulalah perkembangan platform sistem WordPress sehingga ke hari ini. Michel Valdrighi adalah salah satu orang penting dalam pembangunan WordPress sehinggalah 2005. Kini Michel memilih bidang fotografi berbanding pengaturcaraan.

WordPress bukanlah satu-satunya sistem yang lahir dari B2/Cafelog ini. Ada satu lagi sistem yang kurang popular yang lahir dari sistem ini, iaitu b2evolution.

Automattic dan WordPress.com

Automattic adalah sebuah syarikat yang ditubuhkan oleh Matt Mullenweg pada tahun 2005 bagi menyediakan webhosting untuk kegunaan WordPress. WordPress web hosting ini dinamakan wordpress.com. WordPress.com dimiliki sepenuhnya oleh Automattic. Jenama WordPress didaftarkan oleh Automattic sebagai hak milik Automattic.

Namun disebabkan WordPress ini dibina oleh komuniti, maka pada tahun 2010, Matt mendermakan Hak Nama Jenama (trademark) WordPress kepada WordPress Foundation.

WordPress foundation dan WordPress.org

WordPress Foundation adalah satu badan bukan kerajaan NGO tidak berasaskan keuntungan yang dicipta bagi membolehkan komuniti menyumbangkan hasil karya dalam pembangunan WordPress. WordPress Foundation adalah pemilik wordpress.org.

WordPress.org ini adalah di mana pembangunan sistem WordPress dilakukan. WordPress.org menyediakan sistem WordPress untuk dimuat turun dan digunakan secara percuma di web hosting pengguna sendiri. WordPress.org tidak menyediakan hosting seperti WordPress.com.

Segala tema/pemalam/naik taraf WordPress disediakan di sini. Di sini juga disediakan segala info teknikal mengenai cara WordPress beroperasi.

Begitulah serba sedikit mengenai sejarah ringkas WordPress. Jika ada sebarang kesalahan sila komen di bawah. Diharap artikel ini boleh membantu anda memahami lagi tentang sejarah WordPress.

 

Tinggalkan Balasan

Close Menu